PRK SETERUSNYA: DUN Merlimau, Melaka

Terkini @Tenang, Johor

PRK Tenang: Adakah Datuk Zaid Ibrahim berani pertaruhkan dirinya ??

Kuasa Ketiga bertanding di Tenang?

Oleh: Shaharul Shafie 

Bagaimana dengan “Kuasa Ketiga” di PRK Tenang? Kemungkinan besar akan ada calon yang mendakwa diri mereka “Kuasa Ketiga” turut meletakkan calon. Namun begitu, persediaan dalaman mereka seharusnya diperbaiki dulu sebelum mula memikirkan tentang “test power” di sini. Yang pastinya “Kuasa Ketiga” yang mungkin berminat ialah parti Kesejahteraan  Insan Tanah Air (Kita) yang dikini dipimpin oleh bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim.

Namun begitu, pelbagai isu dalaman Kita memerlukan masa untuk diperhalusi dan diselesaikan seperti penukaran nama secara rasmi dari Angkatan Keadilan Islam Malaysia (Akim) kepada Kita, organisasinya, perlembagaan parti dan pemupukan perpaduan sesama pemimpin-pemimpinnya supaya selaras dengan aspirasi Zaid. Sungguhpun begitu, sekiranya Kita meletakkan calon, bantuan dari sebuah lagi parti yang dilihat lebih kecinaannya iaitu Parti Cinta Malaysia (PCM) sewajarnya dialu-alukan di dalam jentera kempennya kelak yang pasti menyemarakkan pertandingan tiga penjuru nanti di Tenang dan menjadi ‘pengacau’ undi.

Semasa PRU 2008, meskipun BN kehilangan 5 buah negeri (sebelum Perak kembali kepada BN) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada PR, BN Johor masih mampu mengekalkan kekuasaannya ke atas negeri itu. Namun begitu, buat pertama kalinya dalam sejarah DUN Johor, calon-calon dari PR ketika itu membuat kemajuan apabila menambah dengan banyaknya kerusi mereka di negeri itu terutamanya DAP yang memenangi 4 kerusi. PAS pula memenangi 2 kerusi daripada sejumlah 56 kerusi DUN di negeri itu.

Daftar pemilih 2008 menunjukkan DUN Tenang mempunyai seramai hampir 50 peratus pengundi Melayu, lebih 38 peratus pengundi Cina dan lebih 12 peratus pengundi India. Jumlah pengundinya ialah 14,511 orang. Menurut daftar ini, sekiranya daftar pemilih terbaru diumumkan (yang mana penulis merasakan tidak akan berbeza sangat) merupakan satu situasi pertandingan yang adil kerana komposisinya melambangkan pembahagian populasi seperti di peringkat nasional dan juga mencerminkan senario pilihan rakyat secara keseluruhan.

Oleh itu, komposisi daftar pemilih berkenaan menjadi satu tanda jelas kepada parti-parti yang bertanding sebagai mewakili sentimen nasional di kalangan kaum-kaum yang ada. Hasil daripada PRK ini nanti memudahkan analisa pemerhati politik dan juga cerdik pandai politik mengenai persoalan-persoalan seperti kecenderungan pengundi Cina sebenarnya dalam politik, impak oleh pengundi India selepas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mengundur diri, pandangan orang Melayu mengenai ketuanan Melayu dan ketuanan Rakyat dan banyak lagi indikator-indikator sentimen yang boleh terjawab.

Chua Jui Meng calon PR di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang ??

Oleh: Shaharul Shafie 

Walaupun tiada masalah dalaman di dalam PKR sekali pun, saya masih memilih PAS. Anda mahu tahu kenapa? Mungkin ramai tidak sedar bahawa keadaan di dalam PKR Johor sendiri dan penerimaan rakyat Johor ke atas PKR masih jauh lagi rendah. Saya boleh katakan semakin teruk apabila PKR tidak sensitif kepada “ketuanan Melayu” yang wujud di negeri itu. Sebagai sebuah negeri yang menjadi kubu kuat Umno, kesilapan besar PKR adalah melantik bukan Melayu sebagai Ketua PKR negeri. PKR telah melantik bekas Menteri Kesihatan,

Datuk Chua Jui Meng menjadi Ketua PKR negeri. Kita tidak bercakap tentang hak Chua ataupun orang Cina memegang jawatan tersebut tetapi kita bercakap tentang situasi sebenar di negeri yang majoritinya orang Melayu yang kini Umno berbangga kerana menguasai lebih 60 peratus undi Melayu.

Oleh itu, penulis berharap pemimpin kanan PAS dan DAP supaya faham akan realiti semasa dan tidak membiarkan lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mungkin mendesak mereka menerima PKR sebagai calon di Tenang. Jika PAS dan DAP benar-benar mahu menyelamatkan kemampuan dan persepsi umum ke atas PR yang kebelakangan ini banyak menurun disebabkan masalah dalaman PKR, maka PAS dan DAP perlulah berkata “Tidak!” untuk kali ini.


Saya melihat ada kemungkinan Anwar berhasrat untuk menjadikan medan Tenang ini untuk mengenengahkan Datuk Chua Jui Meng sebagai calon. Meletakkan beliau sebagai calon tidak salah kerana ini negara demokrasi tetapi satu langkah ke belakang jika melakukannya di kerusi DUN yang ramai Melayu yang kini kukuh bersama Umno dan BN. Jui Meng mungkin mampu menarik undi orang Cina tetapi menarik undi orang Melayu dilihat sebagai sesuatu yang mustahil dalam senario semasa.

Namun begitu, dasar PAS yang lebih liberal bukan sahaja menarik undi orang Cina tetapi sekurang-kurangnya dapat menarik sebahagian daripada undi Melayu jika dibandingkan dengan kemampuan PKR sendiri walaupun PKR meletakkan calon Melayu dan bukannya Jui Meng. Bukan itu sahaja, PKR akan lebih bermasalah untuk meyakinkan pengundi sekiranya Akim @ Kita memasuki gelanggang lawan. Yang pastinya Zaid mempunyai sebab, bukti dan hujah politik bagi membongkarkan masalah dalaman PKR di dalam kempennya.

Penggantungan 4 ahli Parlimen PR bakal dijadikan bahan kempen di PRK Tenang.


Oleh: Shaharul Shafie

Episod terbaru di Dewan Rakyat baru-baru ini yang menyaksikan penggantungan empat ahli Parlimen PR memang mampu memberi nafas politik kepada PR untuk menggunakan isu-isu mengenai salahguna kuasa doktrin pengasingan kuasa, APCO-Israel, Speaker Dewan Rakyat yang tidak adil dan sebagainya bagi meningkatkan semula waima perjuangan keadilan dalam diri rakyat yang kembali terpendam sejak setahun lalu.

Namun, calon PAS adalah lebih mampu dan sesuai menggunakan kesempatan isu Dewan Rakyat itu untuk menarik sokongan orang Melayu di Tenang terutamanya mereka yang berada di atas pagar yang pernah mengundi PR semasa PRU 2008. Apa yang PAS perlu lakukan sekarang bersama-sama dengan komponen lain dalam PR ialah memainkan semula sentimen rakyat supaya meningkat ke tahap ‘rakyat penentu’ seperti semasa di PRK di Batu Gantang iaitu selepas beberapa bulan BN menguasai DUN Perak dengan cara yang diragui.

Andaikata PR tetap mahukan calon dari PKR, isu dalamannya yang berlaku sebelum ini tidak cukup bagi mengambil kesempatan dalam menyemarakkan gelombang rakyat kali ini, maka PAS adalah jentera terbaik buat masa sekarang. Namun begitu, secara jujurnya, jika PR dapat mengurangkan majoriti BN sudah cukup baik kerana ini mampu memberi semangat baru kepada PR dan menakutkan BN. Sekiranya PR menang, ia adalah satu bonus besar di dalam merealisasikan impian Putrajaya nanti.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...